Dia kata aku tak boleh terbang. Dia kata salah. Semua orang tak boleh terbang. Apa pentingnya kau sampai kau boleh terbang tinggi, soalnya mencebik. Simpan saja sayap kau itu. Orang lain tak banyak merungut. Kenapa kau nak jadi lain? Kau sama macam orang lain. Kau duduk diam-diam. Buat kerja kau yang bertimbun itu. Jangan banyak membebel. Syukur. Kau antara yang bertuah.

Aku tunduk. Tapi aku memang boleh terbang. Aku bahagia bila aku terbang. Semua orang boleh terbang. Kau tak fikirkah kami bukan cacat seperti kau? Sayap kami menggigil mendengar bunyi angin memanggil-manggil nama kami. Hati kami gusar, malam kami panjang, siang kami gersang. Kami tak dijadikan duduk mengadap dinding. Kami mahu terbang!

Dia kata ini arahan. Tengok siapa yang lebih banyak makan garam. Sedarlah, kau dibayar untuk duduk mengadap dinding, katanya. Apa kau mahu lagi? Buat apa terbang tinggi semata-mata untuk jatuh terhenyak ke Bumi? Lihat sayap aku ini. Koyak rabak dan tak mungkin berfungsi lagi. Kau mahu cacat seperti aku? Kau mahu menyesal tak sudah?

Masalah aku ialah aku jarang menyesal. Patah tumbuh, hilang berganti. Bagaimana sayap kau mahu tumbuh kalau kau balut dia ketat-ketat tak mahu parutnya dilihat orang (hodoh, kata kau), tak mahu orang tahu kau pernah cuba dan gagal, tak mahu bagi ruang untuk ia tumbuh lagi, tak mahu ia kembali kuat dan berfungsi. Kau mahu padam saja episod cubaan dan kegagalan kau. Apa kau ingat semua orang sempurna, sekali cuba terus melayang?

Paling aku sedih ialah apabila lidah kau berani mencantas tunas-tunas mimpi. Kau jual kegagalan kau kepada orang lain. Kau bagi dia sempadan padahal sebenarnya sempadan itu cuma garis-garis dalam kepala kau. Kau kata tak boleh. Kau kata mustahil. Kau kata semua orang tak boleh terbang sebab kau sudah cuba dan ada bukti kegagalan yang kekal. Kau biar gagal itu selubung kau dengan selimut hitam dan kau berlingkar menangisi nasib buruk kau dalam kelam, lewat malam bila kau rasa semua orang sudah pejam. Kau kata dengan penuh yakin yang semua orang tak boleh terbang. Ambillah aku jadi teladan.

Tapi dalam hati kau setiap hari kau bermimpi tentang hari itu. Hari kau terbang melayang menyentuh awan gebu. Kau lupa terus denyut-denyut sakit di sayap kau itu, yang kau urut, belai dan sapu setiap hari. Kau senyum sendiri.

Kau boleh tipu orang lain tapi janganlah kau tipu aku.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s