PROMPT 1 –

Anda seorang jutawan dan sedang dalam fasa bahagia dengan suami yang paling kacak dan paling romantik tetapi tak ramai yang tahu yang anda berdua masing-masing menyimpan rahsia. Tulis cerita pendek tentang rahsia anda berdua.

BAB 1: Istiqamah

Orang kata lelaki gentleman ni tak pernah wujud sebenarnya. Yang ada cuma serigala yang istiqamah. Walaupun dia volunteer untuk tolong mandikan atau tolong shampukan pihak terbabit, bertungkus-lumus nak sikatkan malah French braid-kan bulu biri-biri idaman, potongkan rumput segar untuk tiap-tiap kali waktu makan, vaksin on-time dan berpeluh-peluh siapkan kandang beraircond untuk masa depan binatang kesayangan, semuanya dihasilkan untuk kepentingan perut sendiri. Geli hati juga kali pertama dengar Cik Nab berleter. Tangannya sibuk menyapu seaweed butter ke sándwich croissant yang ketiga tapi matanya merenung aku. Sejenis pandangan yang merayu minta perhatian dan kepercayaan. Pandangan seorang ibu.

“Cik Nab, berapa kali saya nak cakap?” Aku tahan nafas taknak mengeluh depan dia.

“Mem, saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Takkanlah saya nak tipu…”

Aku cuba melepaskan nafas yang tersangkut tadi tapi macam ada dawai berkarat di celah-celah rusuk kiri. Ya, aku dah lama tahu permainan dia tapi aku diamkan saja. Siapa lagi yang tak tahu tentang perangai dia? Driver? Tukang kebun? Poolboy yang datang seminggu sekali pun perasan apa yang pelik dalam rumah ni. Posmen pun maybe tunggu masa nak ambush aku kalau terserempak di simpang jalan besar. Jiran-jiran muncung sedepa kalau Brabus kami lalu lepas balik kerja. Dah terang lagi bersuluh. Semua gossip column online dah letak artikel tentang Ammar sejak sebelum kami kawin lagi.

“Ammar Yang Amarah – YouTuber Bergaduh Dengan Bekas Kekasih di Club?”

“Bekas Kekasih Ammar Tarik Balik Laporan Polis.”

“Ammar Salimin Pilih Cougar? Nadia Girls Attack Ugut Bunuh Diri.”

“10 Things I Love about Monaco besides our Honeymoon! – vlog episode 561 #AMMARITE ##selamatpengantinbaru #tilljannah #monacoandboo #romantic #honeymoonmonaco #luxury #traveltheworld #lustforlife #honeymoondestination #couplegoals #summer #explore #luckybastard”

Sejak bila, eh? Sejak kami trending atau lepas kawin? Lepas balik dari cruise tu kot. Apa yang aku boleh katakan ialah Ammar adalah seorang lelaki yang istiqamah. Lelaki lain mungkin akan give up lepas fail 10 kali.

“Cik Nab, kita paused dulu boleh? Saya ada surprise best hari ni,” kataku selepas menghabiskan jus oren. Awal sangatlah nak pikir tentang benda-benda yang menyakitkan hati. Bunyi berdesir di luar membuatkan aku berpusing ke belakang. Tingkap besar tunjuk langit dan halaman yang masih berselimut bayang-bayang – tak ada apa-apapun. Sepasang lampu di kiri dan kanan jalan macam tak membantu langsung. Tangan aku capai bakul buah di tengah-tengah meja makan sebelum pintu rumah ditendang dengan kuat dari luar. Siapa lagi kalau bukan dia, kan? Selain continental breakfast yang laki aku suka, kami juga dihidangkan dengan pemandangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Cik Nab membalas dengan mendengus kuat, sipi lagi nak jadi bas. Dua-dua orang driver kami masuk sambil memapah seekor lembaga berbau air kencing.

Fuh, tarik nafas. Tarik. Napas. Dawai karat tu macam tak reti cucuk tempat lain. Balik-balik tempat yang sama. Benda ni dah jadi banyak kali so it’s not a big deal, kan? Tapi entah kenapa semua oksigen macam hilang. Tak cukup. Tak sampai. Argh, paru-paru cap apa ni?

Hembus. Tarik. Apa tadi? Ya. Nasib baik tak terlupa. Surprise.

Semalam lagi aku dah set semua notification dengan reminder supaya berbunyi serentak pukul 6 pagi untuk 12hb Mac tapi aku terjaga 35 minit sebelum taufan datang merempuh. Taufan itu mengambil rupa bentuk seorang lelaki kacak separuh bogel dengan setengah daripada seluarnya kuyup dengan muntah.

Happy…HAP..PY anniver..sherry, BABY! Eh, bukan, bukan! Yang ni, ha, yang…yang tua kita panggil apa? SAYANGlah, bodoh! Itu pun tak reti ke?” jeritnya sambil meronta-ronta keluar daripada pelukan Pak Mat dan Uncle Raju. Dua orang lelaki tua itu tarik dia ke belakang, minta maaf berkali-kali sambil tunduk malu.

Haih, apalah yang madu aku suka sangat dengan Ammar versi zombi ni?