Kawan

Katanya mahu berubah

Tak mahu lagi jalan jalan rebah

Sakit kaki tersadung tak sudah

Bangun pagi kepala nak terbelah

Apa guna kawan jika kedekut sokongan

Mana yang lupa akan aku ingatkan

Barang yang buruk aku jentik-jentik minta jauhkan

Sebab aku mahu dia jadi jejaka idaman

Tapi hari ini tiga setengah dia terlantar

Malam tadi malam berbuat onar

Lesap semangat kobar-kobar

Berpimpin terjun ke jerangkap samar

Ini dia idola si anak dara?

Botol dan gelas berserakan di meja

Mampukah kau sara hati yang merana

Melihat kau menari irama neraka

Aku berharap yang hatimu kental

Mengharung ranjau dan kabus tebal

Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengenal

Taubat yang ikhlas dari hati yang sesal

– bisabakar

Kulit

Syukur kerana kulit

Jasanya tak boleh kuungkit

Aku takkan mampu keluar

Tanpa mengendong semua sepai harapan, mimpi dan jiwa

Semua sampah yang aku simpan

Mana tahu satu hari aku mampu sulam dan tampal

Untuk diguna di masa hadapan

Buat selimut kaki yang sejuk

Kau boleh nampak ada satu ruang kosong di sangkar kiri

Dulu ada obor warna biru terang berapi

Panas buat aku bingkas bangun dan berlari

Kini aku diam, duduk berdengkur di dalam salji

Aku mahu kau ingat yang kulit ini rahmat

Kelabu, kuning atau warna syiling berkarat

Mata kau buta dengan reput hati serta sifat bangang semulajadi

Segala calar balar, luka, parut yang menghias dinding hati

Berapa banyak atau berapa dalam

Kau leka dengan lesung pipit dan hidung-hidung tajam

Kau cuma nampak satu hamparan

Sempurna, gebu dan kuat

Dan bila malam

Kulit itu selalu terlondeh

Meninggalkan kau kemas sampah-sampah yang bertaburan di lantai

Tapi esok kau bangun dan laci kau penuh

Berani untuk angkuh dengan keindahan di depan cermin

Kau senyum tapi kulit kau tahu

Nafsu yang terbendung, didih darah yang terkandung

Bisik-bisik hati yang minta kasih, minta perhatian

Calit darah yang tersembur

Bocor.

– bisabakar

Janji

Jual janjimu semahal berlian

Jangan dibiar bersepai di jalanan

Ramai lagi yang menagih giliran

Tiada baki maaf untuk hati yang terkilan

Aku minta dianugerahkan kekuatan

Biarlah ikhlas dan benar semua lisan

Biarpun sedikit, murah, tanpa bunga-bunga perhiasan atau berlapis santan

Aku tak mahu malu dengan kata yang gagal jadi perbuatan

– bisabakar

Bukan Orang Suci

Dosa ini sayup tinggi puncaknya di awan biru. Setiap hari kukumpul dan kulurut dengan harapan beban ini akan kurang. Mungkin boleh mencium bau syurga bila mati nanti. Oleh itu aku bermain tarik tali dengan Tuhan setiap kali. Memohon dan meminta supaya ianya berkurang tetapi masih terus menabur benih lalang di laman sendiri.

Bijakkah orang ini?

Pokoknya manusia memang bukan suci. Aku tidak boleh menandingi orang lain. Ramai yang lebih baik daripada aku dan aku akur dengan kelemahan aku. Aku mahu berubah tapi mahuku itu lemah. Nafsunya besar berkali ganda memijak jemari kurus iman yang memegang cerun bukit bergantung dengan sisa nafasnya yang terakhir.

Aku bunuh dia berkali-kali tetapi dia tetap datang menghantui aku.

Katanya ini salah. Berubahlah menjadi orang yang lebih baik.

Paling lama tiga atau empat minggu. Selepas itu perempuan jalang itu kembali.

Tiada orang yang boleh selamatkan aku kali ini. Aku sebenarnya mahu Si Putera datang dan memelukku dan memberitahu yang semuanya akan baik-baik belaka, yang dia akan sentiasa berada di belakangku melindungi aku dari ditusuk duri, lembing atau nafas berapi naga Tasik Chini.

Tapi dia masih belum sampai. Bayangnya pun sama kelam seperti malam. Tiada tanda, tiada petunjuk, tiada langsung bunyi tapak kakinya.

Seorang diri. Takutnya.

Dua Tangan Ini

Sepuluh jari tangan ini tidak berhenti menari. Dari dulu kuperhatikan semuanya tidak boleh duduk diam. Ada saja yang mahu dipegang, disapu, diusap, digaru, digenggam, ditepuk, dicubit. Ada saja yang mahu diceritakan.

Tidak penatkah kamu semua bekerja untuk aku saban hari?

Mereka diam. Ini namanya kerja? Apa itu?

Kamu berbuat sesuatu untuk aku dengan arahan aku. Selalunya kerja mesti dibayar.

Apa bayaran kami?

Kamu semua mahu wang?

Untuk apa?

Kau boleh membeli apa sahaja; baju, rumah, makanan.

Kami tak perlu itu semua.

Kamu mahu aku hias semuanya cantik-cantik?

Tak mahu. Nanti kami tak mampu bekerja kerana sibuk mempertahankan kecantikan kami minggu demi minggu, melihat ke cermin dan tersenyum sendiri. Kami tahu warna-warni batu berkilau itu tidak lama. Kami tak perlukannya. Kami sudah cantik begini.

Kamu mahu aku belai kamu dengan semua krim, losen yang berjenama?

Tak mahu. Kerja kami berat. Jika terlalu lembut kami tak mampu memikul beban ini lagi. Biarkan kami begini.

Habis kamu semua mahu apa?

Kami mahu kau guna kami. Kerahlah tenaga kami. Paksa kami meramas hatimu yang parah biar lukanya melarat, biar tepu dengan dakwat-dakwat merah yang mengalir deras dan kami, laskar peribadimu akan melakar mimpi-mimpi ngeri di atas ruang putih ini biar jadi azimat untuk kamu nanti. Biarkanlah kau silap hari ini tetapi bangkitlah walaupun jatuh berkali-kali.