Meracau Lagi

Sepi buat aku jadi begini

Meronta, menggelupur dan meracau lagi

Bisik satu nama dan kuulang sampai pagi

Walau ikrarku setahun lalu dia sudah lama mati

Hari ini kubulat tekad

Tidak mahu malu lagi, tidak mahu sakit ini melarat

Kujengah wajah itu lagi, si Rambut Hitam Pekat

Kutulis bersahaja ‘Aku rindu padamu’ wahai Sahabat

Seperti biasa, mula-mula dia pura-pura pengsan, buat tak tahu

Hati ini merekah seribu, apa kau tak bisa merindu aku?

Tetapi aku tahu dia jauh, dia malu, dia pura-pura bisu

Akhir sekali dia kata dia suka, dia mahu, dia pun rindu aku

Ini bukan berita baik, bukan ubat penyakit

Nafas aku semput, dadaku tetas tak berjahit

Malam ini pastinya mata ini memekik perit

Meracau lagi dengan bayang-bayangnya yang datang menghimpit

Masalah aku satu, meracau tak tentu

Lama kubilang kumbang bukannya seekor tapi beribu

Tapi hati ini degil, keras, dungu, kematu

Menanti hari bila degup nadi ini bersatu

Tapi tanpa aku dia bahagia, dia gembira, dia ceria

Walaupun aku seorang yang meracau, menggila, membabibuta

Maka ubat penyakit jiwa ini mudah, pilihlah jalan untuk lupa

Mungkin dia bukan jawapan yang aku pinta

Oh bilakah racau ini boleh padam, bila rasuk ini akan diam

Bila difikir sudah 416 hari jantung ini tidak tenteram

Mimpi berselang hari berselang tahun berselang siang berselang malam 

Wajah itu datang berulang, bak zikir, bak gurindam

Jika tidak tersambung selirat sulam benang takdir ini

Redhalah aku perca kasih yang kutenun dan kujaja sepanjang hari

Dipijak, dikesat, dihentak atau dibuat kain lap kaki

Padamkanlah warna pelanginya dan biar belang jelaga hitam yang ganti

Mabuk

Aku ada seorang kawan

Tugasnya meneman aku jalan-jalan

Kadang2 dia bayar bil lepas kami makan

Jenis lelaki yang tak kisah basah jalan saing dalam hujan

Tapi dia ada satu masalah yang aku paling tak berkenan

Hari Jumaatnya selalu ikut kawan2

Duduk menonggak bir berpint-pint

Semua pub di Newcastle ini dia dah rasmikan

Pagi Sabtu banyak perkara yang jadi sesalan

Katanya cukup sudah, penat isi perutnya dikeluarkan

Pening kepala, sakit urat, tunjuk aku lebam yang ada di lengan

Manja minta simpati, minta aku tolong jagakan

Tapi sakit mabuk bukan sakit yang aku boleh pulihkan

Tolonglah wahai kawan berdiri dengan pendirian

30 tahun sudah faham dunia punya urusan

Apa kata kita mula proses pemulihan

Kita berjalan di bawah sinar perak Sang Bulan

Aku paling suka kalau kau yang mula anyam2 tangan 

Kau tinggalkan semua, mamat2 Geordie yang konon gentleman

Teguklah aku ganti semua wiski, semua wine

Aku jamin kau takkan sakit, takkan pening, takkan pengsan

Biar aku yang rasuk kau, biar aku jadi sumpahan

Mabuklah dengan aku, wahai jiwa yang kempunan!

Kawan

Katanya mahu berubah

Tak mahu lagi jalan jalan rebah

Sakit kaki tersadung tak sudah

Bangun pagi kepala nak terbelah

Apa guna kawan jika kedekut sokongan

Mana yang lupa akan aku ingatkan

Barang yang buruk aku jentik-jentik minta jauhkan

Sebab aku mahu dia jadi jejaka idaman

Tapi hari ini tiga setengah dia terlantar

Malam tadi malam berbuat onar

Lesap semangat kobar-kobar

Berpimpin terjun ke jerangkap samar

Ini dia idola si anak dara?

Botol dan gelas berserakan di meja

Mampukah kau sara hati yang merana

Melihat kau menari irama neraka

Aku berharap yang hatimu kental

Mengharung ranjau dan kabus tebal

Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengenal

Taubat yang ikhlas dari hati yang sesal

– bisabakar

Kulit

Syukur kerana kulit

Jasanya tak boleh kuungkit

Aku takkan mampu keluar

Tanpa mengendong semua sepai harapan, mimpi dan jiwa

Semua sampah yang aku simpan

Mana tahu satu hari aku mampu sulam dan tampal

Untuk diguna di masa hadapan

Buat selimut kaki yang sejuk

Kau boleh nampak ada satu ruang kosong di sangkar kiri

Dulu ada obor warna biru terang berapi

Panas buat aku bingkas bangun dan berlari

Kini aku diam, duduk berdengkur di dalam salji

Aku mahu kau ingat yang kulit ini rahmat

Kelabu, kuning atau warna syiling berkarat

Mata kau buta dengan reput hati serta sifat bangang semulajadi

Segala calar balar, luka, parut yang menghias dinding hati

Berapa banyak atau berapa dalam

Kau leka dengan lesung pipit dan hidung-hidung tajam

Kau cuma nampak satu hamparan

Sempurna, gebu dan kuat

Dan bila malam

Kulit itu selalu terlondeh

Meninggalkan kau kemas sampah-sampah yang bertaburan di lantai

Tapi esok kau bangun dan laci kau penuh

Berani untuk angkuh dengan keindahan di depan cermin

Kau senyum tapi kulit kau tahu

Nafsu yang terbendung, didih darah yang terkandung

Bisik-bisik hati yang minta kasih, minta perhatian

Calit darah yang tersembur

Bocor.

– bisabakar

Janji

Jual janjimu semahal berlian

Jangan dibiar bersepai di jalanan

Ramai lagi yang menagih giliran

Tiada baki maaf untuk hati yang terkilan

Aku minta dianugerahkan kekuatan

Biarlah ikhlas dan benar semua lisan

Biarpun sedikit, murah, tanpa bunga-bunga perhiasan atau berlapis santan

Aku tak mahu malu dengan kata yang gagal jadi perbuatan

– bisabakar